BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Selasa, 8 Disember 2009

SEJARAH GAYUNG BHG 1

Asal-usul Silat Seni Gayong

Silat Seni Gayong dikatakan telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mansor Syah. Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Feringgi(Portugis) pada tahun 1511, hulubalang Melaka yang diketuai oleh Tun Biajid(anak Laksamana Hang Tuah) telah berundur ke dalam hutan dan seterusnya melakukan serangan gerila terhadap angkatan Portugis. Ilmu Silat Seni Gayong inilah yang telah digunakan oleh Tun Biajid dan orang-orangnya ketika menentang Portugis. Walaupun terpaksa berundur ke dalam hutan, hulubalang-hulubalang Melaka ini masih mampu menyusun suatu barisan penggempur (boleh disamakan dengan gerakan gerila) yang berpegang kepada tekad iaitu "berimau-rimau, berimba-rimba dan bergayong".
Disebabkan kedudukan Portugis terlalu kuat ketika itu, Tun Biajid dan orang-orangnya terpaksa berundur hinggalah ke negeri Pahang, untuk mencari perlindungan. Di Pahang, ilmu Silat Seni Gayong ini terus hidup diwarisi oleh generasi demi generasi sehinggalah sampai ke tangan Tuan Syed Zainal Al-Attas, iaitu seorang hulubalang Pahang yang hidup sezaman dengan Dato' Bahaman dan Mat Kilau.
Ada suatu kisah yang menceritakan bahawa pada zaman pemerintahan Portugis di Melaka, telah diadakan majlis keramaian tiap-tiap tahun yang dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat. Pemerintah Portugis telah mengadakan suatu pertandingan seni persembahan budaya masyarakat setempat dan memberikan ganjaran yang besar kepada pemenangnya. Dalam kategori persembahan silat, pesilat yang menunjukkan persembahan yang dianggap membahayakan telah dikumpulkan setempat dan diasingkan daripada pesilat yang mempersembahkan silat pulut yang diiringi oleh bunyi-bunyian seperti gendang. Pesilat-pesilat yang membawakan silat yang berbahaya ini telah ditangkap secara sulit lalu dirantai dan dibawa ke tengah laut dengan perahu untuk dibunuh, kerana pemerintah Portugis bimbang bahawa mereka boleh mengancam kedudukan Portugis di bumi Melaka. Ketika berada di tengah laut, dengan izin Allah dan berkat ilmu Silat Seni Gayong, rantai yang mengikat hulubalang-hulubalang Melaka itu telah berjaya diputuskan, dan hulubalang-hulubalang Melaka ini telah melawan dan berjaya menumpaskan pengawal Portugis yang mengawal mereka. Oleh kerana bimbangkan keselamatan diri mereka ekoran daripada peristiwa itu, hulubalang Melaka ini telah mengambil keputusan untuk belayar ke merata-rata gugusan kepulauan Melayu untuk mencari perlindungan. Sesetengah daripada hulubalang Melaka ini telah mendarat di Makasar lalu menetap di situ. Di Makasar ini, ilmu Silat Seni Gayong telah berkembang dengan meluas, terutamanya di kalangan bangsawan Bugis. Orang-orang Bugis inilah yang bertanggungjawab menghidupkan semula kesenian lama ini di Tanah Melayu.
Ada suatu riwayat yang masyhur berkenaan tujuh orang anak raja tanah Bugis yang sangat-sangat ditakuti dan dihormati di seluruh Makasar, Riau, Siak dan juga pulau-pulau yang berhampiran, kerana kegagahan dan keperkasaan mereka yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Mereka telah belayar meninggalkan tanah Bugis dan menjelajah ke serata kepulauan Melayu untuk mencari kawasan penempatan yang baru. Salah seorang dari putera Bugis itu ialah Almarhum Daeng Kuning atau lebih dikenali sebagai Panglima Hitam. Daeng Kuning ialah moyang kepada Dato' Meor Abdul Rahman, Mahaguru Silat Seni Gayong. Syed Zainal mempelajari ilmu Silat Seni Gayong daripada Daeng Ambok Solok, seorang pahlawan berketurunan Bugis dan mempunyai tali persaudaraan dengan Daeng Kuning.
Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Syed Zainal telah diperintahkan oleh Sultan Ahmad Pahang untuk mencari buah keras di Pulau Bangka, Riau, Indonesia. Di Pulau Temiang, yang terletak berdekatan dengan Pulau Bangka, mereka telah bertemu dengan Daeng Ambok Solok. Daeng Ambok Solok telah bermurah hati untuk menurunkan ilmu Gayong kepada pahlawan Pahang tersebut agar dapat digunakan untuk mempertahankan tanah air mereka kelak. Oleh kerana kesuntukan masa, mereka mengikat janji untuk kembali lagi ke Pulau Temiang setelah selesai urusan yang diamanahkan oleh Sultan. Dalam perjalanan pulang ke Pahang, Mat Kilau diarahkan untuk membeli senapang kopak di Singapura. Mat Kilau, Syed Zainal dan Dato’ Bahaman telah belayar kembali ke Pulau Temiang seperti yang dijanjikan. Mereka telah menuntut ilmu Gayong selama kira-kira dua tahun daripada Daeng Ambok Solok.
Syed Zainal Al-Attas ialah nenda kepada Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman Daeng Uda Hashim. Dato' Meor Abdul Rahman mempelajari Silat Seni Gayong daripada nendanya sendiri, Tuan Syed Zainal Syed Idris Al-Attas ketika berusia 12 tahun.

0 ulasan :